Pulanglah...

Terbang kau tinggi, ia sementara.
Besarnya engkau hilang tanpa berita.
Lajunya engkau kini tidak kembali.
Bertali arus kami merayu kau kembali.
Kau ibarat nyawa kami.
Kau ibarat harapan besar kami.
Kami juga takut.
Kami menadah tangan memohon pada yang Esa.
Kami tidak mahu dengar, lihat mahupun baca apa sahaja bentuk kecelakaan yang kau alami.
Tangisan kami tidak cukup untuk memanggil kau pulang.
Tangisan mereka juga sepi dibaham terik panas.
Kami kerah kudrat kami demi kalian.
Pulanglah...
Kami hanya mahu dakap berita yang indah.
Kami tidak mahu tangan kami ini lusuh menyambut jasad tidak bernyawa.
Kerana kami lemah.
Mereka juga lemah.
Kami punya semangat yang kecil, kami bekalkan untuk kalian disana.
Aku hanya mampu berbicara, dan berdoa.
Hanya yang Esa mampu kabulkan doa ini.
Pulanglah...

Arus

Nafas ini tidak akan terhenti selagi udara bergelora dirongga-rongga hidung ini.

Hijau air berkocak dijadikan santapan mata dipetang hari, kaki tidak larat berlari hanya duduk yang mampu dinikmati.

Rumput luruh dihidu, panas mematikan mereka. Awan gelap manusia masih berlari, apa tujuan mereka menjadi persoalan diminda. Peluh tidak kelihatan hanya gelak tawa mereka kedengaran.

Cuba mengamati persekitaran penuh manusia, akal direhatkan supaya amarah tidak memamah badan aku.

Dedaunan hijau jadi tempat aku berteduh. Tempat ini bermula segala detik indah aku. Tidak pernah lekang dari manusia kotaraya.

Ia kekal sama, tidak pernah berubah. Hanya manusia yang berubah, mereka tua mereka mati. Aku masih menikmati senja merah ini, berganjak kemudian waktu, menunggu reda jiwa mungkin lewat akan tiba.

Ia kekal sama, jiwa tidak pernah berubah, ia kekal sama tatkala mata aku menatap wajahmu.

Ia indah, dan kekal indah hingga bila-bila.

Jikalau aku mampu putar waktu itu, aku tidak mahu kembali pada waktu itu, aku mahu ia kekal sebagaimana ia kekal dengan memori indah.

Kerana waktu ini sudah cukup indah untuk aku rakamkan, mungkin aku tidak mampu menampung segala memori.

Aku tidak mahu kembali, aku tidak mahu ia berubah.

Biarkan ia kekal indah selama-lamanya.

Popular Posts

Labels