Takut...

Definisi takut pada manusia berbeza mengikut persekitaran, dan apabila mereka berhadapan dengan sesuatu.


Takut mengubah fungsi otak dan fungsi organ dan tidak lari juga dengan kelakuan manusia itu.

Sering kali kita lari dari ketakutan itu, atau kita kaku!

Kita akan terjurumus kedalam sifat atau zon "negatif".

Dari sejak bangku sekolah kita tahu apa sahaja nombor negatif yang mendekatinya akan tetap negatif!

Akan tetapi jangan kita lupa (negatif bertemu negatif) ia akan jadi positif!

Mengapa? Kerana persekitaran mereka itu sama, dan mereka merasakan selesa dengan kelompok itu.

Tetapi awas!

Manusia yang bersifat positif ini akan jadi sebaliknya, mereka akan jadi agresif secara tiba-tiba atau secara tidak sedar.

Mengapa? Kerana sifat takut (terlalu negatif) itu mengubah segala-galanya.

Akal kita lebih lembab, ibarat putaran dari titik A ke B yang berulang-ulang. Itu akal kalian.

Kita berfikir dengan laluan yang sama, hanya dengan menggunakan simpang lain tetapi destinasi yang sama.

Ia kekal begitu hingga kalian sedar!

Sedar bahawasanya ketakutan itu adalah punca kejatuhan tanpa sedar.

Gugup jiwa, gugup tutur kata.

Mengocakkan akal. Tidak lebih dari itu.

Hanya gusar! Hanya gundah! Yang menjemput akal dan jiwa.

***

Ubah haluan ke C, kau korek jalan baru!

Gunakan jiwa negatif itu menari mereka yang takut bersama.

Fahami situasi, fahami lawan kalian.

Kelemahan berada disetiap sudut, gunakan ia dengan sebaik mungkin.

Ia ibarat pesakit kanser yang tidak tahu mereka itu sakit dan yang tahu mereka penghidap kanser.

Jangan benarkan ia mengawal jiwa dan akal kalian!

 Takluk perasaan takut itu. Kawal takut itu ibarat ia dikejar dengan bianatang buas!

Hempaskan segala-galanya!

Lepaskan perasaan takut itu.

Kau adalah raja pada diri kau!

Takut hanya hamba kau!

Kerana bukan ketakutan itu memberikan kau kekenyangan, bukan ketakutan itu mencipta kebahagiaan kau.

Takut hanya akan memamah diri kau sedikit demi sedikit.

Keluar sekarang, atau kau akan sesat buat selama-lamanya...


Titisan...

Kabur asap kini hilang, ditiup angin monsun menitis air mata awan menghijaukan bumi.

Habuk celaka kini tiada.

Pedih mata disebabkan karbon monosikda yang berterbangan.

Jerit manusia tidak pernah padam.

Ibarat perang yang tiada hujungnya.

Kita kalut dengan kehidupan, mencari ketenangan tanpa menitik keperluan yang hilang.

Diragutnya masa demi kepuasan.

Konon kita punya beribu-ribu kitab tertanam didalam dada, walhal manusia lapar masih bergelimpangan!

Konon kita adalah yang benar dengan baju yang putih, walhal manusia masih mencuri untuk hidup!

Konon kita berubah kerana takut akan Tuhannya, walhal gajah dihadapan masih tidak berpakaian!

Bumi ini kekal bogel!

Dengan manusia yang hitam jiwanya!

Habis semua diibliskannya!

Habis semua disyaitonkannya!

Kan ku kata, manusia masih alpa dengan duit, masih kejar akhirat yang berlapikan kayu api neraka.

Sejuk mungkin diubun-ubunnya, telapak kaki masih mendidih kepanasan!

Sejuk itu hanya akal yang ditutup dengan kegelapan hati.

Menanti maut tidak juga tiba.

Ini dunia kita ubah dahulu, kenalkan mereka dengan keikhlasan kehidupan.

Kenalkan mereka dengan kebaikkan, bukan diheret mereka dengan kekasaran.

Kerana kau jalan di atas jalan tar,

Tak-kan pula kau mengheret mereka bersama?

Koyak rabak kulit mereka, mendidih kehausan tekak itu.

Kau biar mereka?


Kehilangan...

Ia bukan satu perkara yang mudah, walaupun ia hanya sebaris kata.

Kehilangan itu satu impak yang terlalu besar dalam kehidupan manusia (seorang).

Tetapi tidak pada manusia lain, kerana kesan emosi manusia lain tiada kaitan dengan manusia yang lain.

Kesan momentum akibat kehilangan ini kadang kala meragut emosi pasangan yang melaluinya.

Gambarannya terlalu gelap, berdarah, ibarat kau membelah urat-urat badan. Terpancut keluar berdesup darah itu!

Pedih, sedih ia hilang sebelum ia sempat diraikan.

Cuma,

Salah seorang darinya perlu lebih tabah. Supaya emosi itu tidak menghentam lebih dari permukaan bumi.

Jangan dikorek lubang, kalian tidak perlukannya. Biar ia jatuh ke lantai bumi.

Pasti ia akan melantun semula.

Jangan biarkan ia berada diawangan, kerana takut gila datang menghinggap.

Ketika ini hanya Tuhan yang lebih memahami. Tiada manusia yang dapat fahami abstrak jiwa yang berkecamuk itu.

Jangan cuba untuk merenggangkan apa yang telah erat. Pasti ini adalah jalan kalian, untuk lebih padu bersatu. Bukan mudah untuk merempuh tetapi kalian tetap perlu merempuhnya supaya dapat melihat cahaya yang cerah dihadapan.

Awan biru...

Terang dunia meniti pagi yang putih...

Jernih air mata menutupi kegembiraan...

Tangan dipanjatkan setinggi-tingginya...

Bersyukur adalah perkara pertama...

Indah!

Ibarat dunia baru yang dilahirkan bersih dari kerosakkan tangan manusia...

Sungguh tenang rupanya...

Air tidak berkocak, angin tidak berderu...

Tiada luka yang berdarah...

Tiada kesakitan yang boleh membunuh kegembiraan ini...

Kehidupan tertinggi namanya diberi...

Moga ia senantiasa berada pada tahap yang tinggi...

Jatuh itu perlu ya..

Tapi jangan lupa untuk mendongak tinggi...

 Kerana cita-cita berada diatas...

Pandangan perlu ditunjuk supaya kau tidak khayal dengan dunia yang hitam ini.

Kami...

Akan selalu berada disisi...

Untuk menjaga kau...

Kami...

Akan suluh dunia kau seterang-terangnya..

Sehingga kau mampu melihat dengan jelas.

Kalau ini yang terakhir...

Kalau ini yang terakhir...

Terbangnya dunia ini bersayapkan emas...

Tiba waktunya ia tetap akan hilang...

Kalau sebaris kata tiada impak...

Aku hidangkan dengan beribu huruf...

Kalut dunia perlu disusun...

Pastikan ia rapi buat si kecil...

Pastikan ia tidak roboh buat si kecil...

Pastikan ia tidak goyah tatkala ditiup...

Manusia suka menunding...

Biarkan dia hidup dengan halangan...

Jangan biarkan ia hanyut ditelan azab dunia...

Tanamkan sifat sabar dalam dia...

Jadikan dia manusia yang hebat...

Didik dia...!

Walau panas darah ini dia tetap rasa sejuk diluar...

Dunia ini penuh tipu daya...

Tunjuk dan pastikan dia hadam...

Kalau ini yang terakhir...

Pastikan kau kenyang...

Jangan lapar didalam bumi ini...

Jangan hilang fokus ketika melihat...

Lihat dengan rapi...

Jangan jadi manusia yang "salin dan tampal"...

Kita perlu panduan...

Ikut sahaja kitab yang telah lengkap ditulis...

Didik mereka ikut jalan yang telah beribu tahun dibentangkan...

Jangan terbabas...

Kerana hidup kita ini sekali sahaja..

Tiada ulangan...

Hanya pembalasan menanti...

Kalau kau mampu jawab dialam seterusnya, kau buatlah apa sahaja ibarat manusia tidak berakal.

Kalau akal itu wujud...

Gunakan dia..

Susun abjad itu sehingga lengkap...

Rapatkan barisan...

TIADA BOCOR!

TIADA LUBANG!

Ingat!

Tiada aku tidak bererti tiada dunia...

Aku bukan malaikat...

Aku bukan pelindung...

Aku hanya manusia yang menanti tiba perginya...

Datang tidak berbunyi...

Pergi tidak berlagu...

Tiada irama aku lontarkan...

Tiada lirik aku catitkan...

Mata pena ini tumpul...

Pabila waktu kertas itu hancur..

Tiada lagi permukaan yang jelas untuk ditulis..

Oleh itu...

Sabar itu senjata yang terulung ketika marah.

Mereka buta..

Gelap...

Mata hati mereka palsu..

Mereka terikut dunia yang senantiasa berpusing...

Hingga mereka sendiri pening akibat permainan ini...

Jangan kau terpedaya...

Kerana...

Nafas perlu diteruskan walau..

Aku sudah tiada.

Manusia dan halobanya!

Temahak manusia!

Siapa yang nampak?

Temahak manusia!

Siapa yang boleh ukur?

Berapa panjang haloba mereka?

Boleh kita timbang?

Dunia mereka hanya duit!!

Duit!!

Duit!!

Mereka tahu itu sistem yang reput.

Mereka gila berlari diatas jambatan tali.

Dunia mereka, hanya bertilamkan objek-objek yang kalau dibakar pasti musnah.

Gelap mata mereka, hanya mencari jalan singkat.

Apa yang mereka mahu?

Satu per satu mereka lompat.

Dari satu ke satu.

Mereka disalut dengan angan si jenin.

Konon kau juara! kau juara!

Hakikat kau ibarat abdi yang mengangkat piramid firaun.

Keringat kau, peluh kau siapa kisah?

Firaun tetap firaun selamanya.

Pandang kelangit ibarat dia tuhan.

Yang dibawah termangu dengan kuasanya.

Anggap mereka punya segalanya.

Kalau kau balik dunia mereka.

Pengemis lebih kaya dari kalian.

Jiwa mereka tidak disini dengan muslihat.

Apa tujuan kau?

Berlari dihadapan cermin, sesat dalam imej kalian sendiri.

Usaha kalian hanya tipu daya yang menghancurkan manusia lain.

Kalian selimutkan dengan agama kalian.

Kalian selimutkan dengan Nabi kalian.

Jalan singkat untuk kau.

Bukan jalan untuk aku.

Hanya hiburan untuk manusia yang tidak kenal erti usaha.

Kerana?

Kalian penuh dengan haloba!

Wajah...

Ia satu kelibat kaku, jarang sekali ia bergerak.

Hanya panas yang mengalihkan badan.

Ia ditenung,

Ia gembira, kadang kala ia mengaruk tidak tentu pasal.

Bahan ketawa malam hari.

***

Siang hari.

Berat aku lihat.

Menampung beban tambahan.

Kalau penat aku tidak bising, biar lena membasuh kepenatan itu.

Tiada apa yang mampu aku lakukan, hanya mengembirakan kau sahaja.

Cahaya dikejar, kadang kala tertinggal juga.

Impian perlu dipenuhi.

Dalam apa jua cara.

Ia tetap perlu dikejar.

Ia satu tujuan.

Selepas satu garisan sudah digapai, kini terus jua aku berjuang hingga satu garisan lain.

Siang-malam-siang

Berganti-ganti wajah tetap sama, berkedut itu pasti.

Aku juga begitu juga.

Cuma tangan ini kadang-kala terlalu kecil untuk menadah kesemuanya.

Bocor atau meleleh itu perlu digilap.

Supaya semut tidak harung kemudian hari.

***

Tunggu.

Pasti satu hari impian-impian kecil akan kita capai!

Mungkin esok?

Mungkin lusa?

Jangan kira.

Mari pegang erat tangan aku kita jalan bersama.

Dihadapan itu penamat.

Bukan mati itu tamat.

Tapi depan itu, masa depan kita.

Popular Posts

Labels