Arus

Nafas ini tidak akan terhenti selagi udara bergelora dirongga-rongga hidung ini.

Hijau air berkocak dijadikan santapan mata dipetang hari, kaki tidak larat berlari hanya duduk yang mampu dinikmati.

Rumput luruh dihidu, panas mematikan mereka. Awan gelap manusia masih berlari, apa tujuan mereka menjadi persoalan diminda. Peluh tidak kelihatan hanya gelak tawa mereka kedengaran.

Cuba mengamati persekitaran penuh manusia, akal direhatkan supaya amarah tidak memamah badan aku.

Dedaunan hijau jadi tempat aku berteduh. Tempat ini bermula segala detik indah aku. Tidak pernah lekang dari manusia kotaraya.

Ia kekal sama, tidak pernah berubah. Hanya manusia yang berubah, mereka tua mereka mati. Aku masih menikmati senja merah ini, berganjak kemudian waktu, menunggu reda jiwa mungkin lewat akan tiba.

Ia kekal sama, jiwa tidak pernah berubah, ia kekal sama tatkala mata aku menatap wajahmu.

Ia indah, dan kekal indah hingga bila-bila.

Jikalau aku mampu putar waktu itu, aku tidak mahu kembali pada waktu itu, aku mahu ia kekal sebagaimana ia kekal dengan memori indah.

Kerana waktu ini sudah cukup indah untuk aku rakamkan, mungkin aku tidak mampu menampung segala memori.

Aku tidak mahu kembali, aku tidak mahu ia berubah.

Biarkan ia kekal indah selama-lamanya.

Peralihan

Satu malam gelap gelita lampu menerangi bilik yang tidak henti meratah mata manusia.

Tidur dijadikan makanan ruji manusia lebihan memamah diri hingga menuju kematian, lebihan berat menjadi tanda tanya mengapa ia naik tidak pula turun.

Lantai menjadi medan peperangan baju-baju kotor, bergaduh mereka menghempap diantara mereka. Siapa yang kalah itu bukan persoalan. Tidur mereka diatas lantai yang sejuk sudah menjadi lumrah buat mereka.

Kamar tidur adalah jantung, jiwa, dan nyawa manusia. Kelam kabut petak itu kabutlah jiwa mereka. Mata ini tidak pernah berhenti melihat. Akan kerana kita ini punya kandungan gula yang berlebihan memberikan impak kepada badan kita untuk memahami apa itu malas.

Terlalu selesa menjadikan kita tidak mahu bergerak, tidak mahu berubah. Alasan dijadikan tembok hidup dari menghalang merealisasikan kemahuan yang disimpan jauh dihujung dunia.

Letih mulut bergerak dalam nada yang tajam, begegar otak menahan amarah yang cuba dipijak hingga kepelusuk yang paling dalam.

Bergerak dari satu tempat hingga kesatu destinasi adalah keperluan hidup, melihat manusia mengejar hidup pagi adalah kemahuan.

Kita perlu berubah demi menikmati satu kehidupan yang lebih enak untuk dinikmati bersama.

Kalau tidak mahu, ia adalah hidup yang sia-sia.

Popular Posts

Labels