Racun dunia, neraka menanti mu...

Wahai anak kecil,

Ingat, kalian bukan DNA aku, kalian bukan darah aku.

Tetapi aku tetap ayah kalian.

Ingat, kalian kecil aku pangku, tatkala besar kalian tetap puteriku.

Wahai anak kecil,

Langkah mu kecil pijak keatas ku, kita jalan bersama.

Wahai anak kecil,

Mungkin tatkala kau besar kau sudah lupa gelak tawa kita bersama.

Aku tidak akan pernah merungut untuk kau kekal sayang aku hingga nafas terakhir ku.

Jangan disimpang akal mereka wahai manusia.

Jangan kelirukan mereka dengan kesalahan yang kau sendiri cipta.

Takdir diolah akan kerana kotornya tangan mu menyambut kehidupan yang diberi.

Aku tidak pernah takut panggilan itu hilang, kerana aku tidak layak.

Pada mata kau, aku mungkin tumpangan.

Tetapi mereka tetap separuh dari kegembiran hidup kami.

Gelak tawa, tangisan, dan riuh mereka tetap akan jadi sebahagian dari kami.

Aku dan mereka tidak pernah meletakkan status itu sebagai satu dinding.

Aku tidak peduli siapa anak kecil itu.

Sudah cukup gembira aku masih mampu memeluk mereka.

Hingga akhir hayat aku..

Ingat..

Neraka menanti mu wahai manusia.

Kisah...

Semalam, gelap menyelubunyi malam sepi.

Tiada gelak tawa mereka yang gembira,

Semalam, gelap membasahi bumi dengan air mata awan.

Cuba untuk hidup, berhenti seketika.

Mungkin perit setiap kali mata dipisahkan.

Kerana malam jadi penghujung hari.

Perit!

Aku inginkan hentian terakhir ini menjadi satu perjalan yang indah di masa akan datang.

Aku berdoa...

Kerana gelap awan hanya seketika.

Tuhan anugerahkan sedikit cahayanya.

Untuk aku mengecapi kebahagiannya.

Kita tiada sunyi...

Kita tiada bekecamuk...

Hanya tawa gembira yang memamah badan ini.

Menunggu hari..

Kita bersatu.

Rasa...

Apa yang dikisahkan masa silam ku, tiada ceritera yang boleh diagungkan.

Tiada apa yang boleh ungkapkan kerana ia terlanjur jadi sudah.

Aku tidak mampu memutarkan alam ini.

Aku juga tidak mahu melaluinya.

Jikalau,

Aku lihat, mengapa aku mampu melalauinya.

Kerana aku tahu masih ada terang dalam gelap.

Kini aku dihujung terowong.

Cahaya terang sudah cerahkan segala-galanya.

Kini aku lihat wajah kau lebih jelas dari dalam mimpi aku.

Kini aku tahu, bagasi coklat siapa yang aku angkat.

Kini aku sudah tahu wajah putih siapa yang kabur itu.

Kini aku sudah tahu.

Tolakkan maut didalam mimpi aku ini untuk kau.

Jatuhnya aku kebumi ini, untuk mencari jalan hidup.

Kau adalah salah satu daripada ceritera aku.

Kau adalah salah satu daripada dunia aku.

Aku tidak perlukan dunia lain untuk gembira.

Kekalutan kau buat aku gembira.

Ketidak-tentuan kau itu indah bagi aku.

Gurindam lama aku penuh dengan kata-kata nista,

Coretan gelap pada kertas putih comot dibuatnya!

Membuatkan kita hargai apa yang ada dihadapan ini.

Lebih bermakna dari apa yang telah hancur.

Kerana apa yang kau akan rasa adalah kelebihan dari semua episod hidup aku.

Apa yang kau akan lalui adalah gelak-tawa bersama aku.

Warna ini tidak akan lutur,

Jari ini tidak akan berhenti mengarang.

Kerana ini adalah kisah hidup aku.

Selingkuh jari ini...

Dahulu aku pernah letak jauh dari bucu bumi,
Dahulu aku pernah hancur,
Dahulu aku pernah hidup dalam kesunyian,
Dahulu aku pernah hidup dalam kegelapan,
Dahulu aku pernah hidup keseorangan,
Dahulu aku pernah menjerit meminta pertolongan,

Dahulu aku..

Tetapi apakah kau?

Mahu letak aku jauh dari bucu bumi?
Mahu lihat aku hancur kembali?
Mahu biarkan aku hidup keseorangan?
Mahu biarkan aku menjerit meminta pertolongan?

Tetapi kenapa kau?

Biarkan aku terkontang kanting tanpa khabar berita?
Biarkan aku berada ditangga terakhir dalam kepentingan hidup kau?
Biarkan aku fikir dengan bebasnya?
Biarkan aku tidak punya jasad untuk dipeluk?

Tetapi kenapa aku?

Kosong tatkala ini.
Kaku membatu menanti kau?
Terasa sungguh jauh.
Terasa aku tidak penting lagi?

Apakah aku perlu kembali kedalam bilik gelap aku?

Kembali menghulur tangan untuk dicapai?

Noktah.

Jeritan...

Tiada sejuk pagi tatkala jarum menusuk jam 4 dimalam hari.
Masih gelap, gelisah dan gusar.
Masih tiada jawapan.
Hanya hangat badan bergelumang dengan dunia gelap.
Hidup masih tetap satu jalan.
Mereka tetap sama bergelumang dengan keseronokan.
Tiada beza.
Sunyi sepi.
Menanti manusia kota.
Lihat sinar pagi hanya merah walau gelap membunuh jiwa.
Aku hanya mahu satu jawapan yang konkrit.
Apa kau tidak penat?
Apa kau hidup tanpa tujuan?
Apa aku hidup ini tiada tujuan?
Mereka tetap sama, keseronokan itu punca utama mereka bernafas.
Aku masih meronta.
Mereka kisah?
Tidak!
Untuk apa mereka tatap jiwa ini?
Lihat diri mereka, penuh dengan janji manis.
Penuh dengan dusta.
Lebih baik aku peluk tanah kubur, moga aku masih ingat nyawa ini akan berakhir.
Lebih baik ia berakhir dari kecewa membunuh jiwa.
Dari berdiri tanpa ada tangan yang mahu menarik.
Dari baring tanpa ada yang menanti.
Hanya aku...
Jangan kau lontar kata-kata manis kalau kau tidak mampu hadamkan dia.
Dedikasi kata cinta hanya dusta manusia.
Kau...
Tidak mampu lihat aku yang sudah habis nafas untuk pagi ini.
Kau...
Diam.
Akhir nota.

Sedia...

Mengorak langkah, akal tidak beku.

Cair berair, meniti setiap aliran otak yang berair.

Kaki kaku, tidak mungkin aku terpaku.

Hanya menghitung hari ia menjadi milik aku.

Tiada satu serpihan cerita lama yang akan diikat.

Jauh dicampak, bersama kita mengukir tanpa ia pecah berderai.

Hanya menunggu..

Ku kira satu dua tiga.

Masih sama?

Dada berdegup cukup sudah kencang ibarat taufan meratah bumi.

Ku gemuruh?

Sudah pasti, kerana mata ini tidak akan henti menatap kau.

Sudah pasti, kerana diri ini akan menanggung beribu-ribu tanggungjawab.

Tetapi...

Aku sedia.

Dengan izin Allah.

Habuk tidak mungkin dilihat...

Al-kisah,

Manusia ini tebal lumrahnya, tetapi nipis matanya. Sehingga zarah-zarah kecil menjadi propaganda sebesar cerucuk KLCC yang meninggi.

Kata-kata menikam setiap saat zarah bernafas, aku hadamkan sahaja. Kerana sayang ini masih tebal kepada kau, akan kerana itu adalah buku sejarah lama, kau jadi sejarahwan menelaah setiap baris kata-kata ini.

Bahaya!

Hentikan, kerana ia akan mengguris setiap jalur-jalur hati kau, jangan acap kali mempertikaikan kenapa dan mengapa dalam hidup kita.

Nescaya,

Kita akan lumpuh separuh jiwa kerana bertelagah dengan diri kita.

Luapan amarah itu sifat manusia yg kotor.

Kita semua ada, tidak terlepas dari cengkaman bakteria-bakteria kotor. Gelapnya hati kita kalau kita masih lihat dalam lorong-lorong gelap.

Kita, aku kau mereka.

Apa beza?

Banyak bezanya!

Jikalau kau diklonkan menjadi seribu barisan, maka ada seribu barisan manusia yang gembira seperti aku.

Tetapi malang bagi seribu mereka itu, kerana kau hanya satu.

Mungkin rupamu punya lebih dari satu, tetapi bukan sifat kamu yang satu itu.

Ia pengekodan unik untuk konsol aku.

Ia mencipta satu dunia yang unik, bukan fantasi mainan aku. Ianya satu dunia yang tiada henti, mungkin lebih sibuk dari zarah-zarah besi yang bergetar tatkala ia dipanaskan.

Bergoncangnya ia menghentam bumi-bumi manusia halus ini.

Sehinga kadang-kala,

Aku tidak tahu bagaimana untuk memberi reaksi untuk paparan wajah yang tidak punya emosi ini.

Jangan takut untuk tatap wajah ini.

Mungkin kurang tampan tetapi manis itu pasti terpalit sedikit bukan?

Berdekah ketewa kecil kau bukan?

Cuba diam sebentar,

kejap lagi pasti kau ketawa lagi.

Cukup sudah gembira kau itu?

Cuba coret lagi untuk hari yang mendatang.

Pasti kita bahagia.

Ketakutan...

Dalam kelautan kita berfikir, akan terpancar satu perasaan takut, takut akan kehilangan segala detik-detik manis yang telah dipahatkan sejak dari hari pertemuan.

Ia mungkin mendatar naik, tetapi menjunam seketika dan memuncak terbang semula.

Itulah kebahagian dalam hidup berpasangan, dia punya kelemahan aku punya kelemahan.

Kami tidak mengambil kesempatan terhadap kelemahan masing-masing, cuma ingat mengingati sahaja.

Mulut yang lancang ini tidak kedengaran lancang seperti sediakala, ia dikawal dengan agak rapi, walau kadangkala ia bolos.

Ia secantik yang dibayangkan, nikmat hidup bekeluarga.

Tidak pernah diduga ia terlalu comel dan manis.

Rasa rindu itu kadangkala menghentam entah dari mana.

Senyuman yang dilontarkan itu boleh meragut nyawa ini, gelak tawa anak-anak kecil membelah sunyi rumah.

Malu merah muka ditekup, ketawa kecil aku sambil mengecilkan mata.

Kami bahagia,

Jangan sesiapa pun cuba meragut apa yang aku ada ini, hanya dengan izin Allah sahaja ia boleh dihancurkan.

Aku tidak hidup didalam dunia fantasi,

Dinding-dinding gelap hancur dihentak oleh permaisuri aku.

Tangan yang dahulu diimpikan, kini menarik aku keluar dari kegelapan.

Terima kasih aku ucapkan...

Aku mungkin tidak mampu membalas seluruh kebaikkan kau.

Cuma apa yang aku mampu berikan,

Hanyalah,

Kasih sayang yang tidak akan lenyap hingga hujung nyawa.

Kabur yang kabut

Putih tidak beerti ia suci, kali ini ia membunuh.

Putih tidak lagi cantik, kerana pedih mata ditangisi.

Putih tidak lagi keinginan manusia, kerana mereka takut akan kehadirannya.

Putih tidak lagi penerang kehidupan, kerana manusia tidak mengimpikannya.

Merah dinyala, hijau dibakar.

Titis hujan menghijau tinggal kenangan.

Kalau manusia memekik akan kehadirannya, jangan banjir yang kunjung tiba.

Kini mereka teriak, kau salah aku salah, mereka salah!

Terlupa, kita ini hanya penumpang dunia.

Ia sementara, kehancuran akan tiba.

Setiap zarah-zarah ini akan dihitung.

Dimana posisi kita sebagai manusia?

Alpa, dan tamak.

Kita maki mereka, bangsa kita yang membakar.

Bangsa mereka yang teriak, bangsa mereka yang tidak mahu menghukum.

Duit dijadikan tempat tidur mereka.

Kita, berselimutkan asap tebal.

Anak kecil mengunyah zarah-zarah hijau yang terbakar.

Dimanakah sifat perikemanusiaan?

Binatang habis dibakar!

Teriak mereka tidak kedengaran.

Apa mahu aku bakar manusia seperti kalian?

Baru tahu ia pedih, tiada gembira buat kami.

5 minit...

Otak ditekan, angin dikeluarkan.

Berpusu-pusu akal berbelit, memerah urat-urat akal.

Lega hati senyuman dipaparkan, melihat nota-nota kecil di telefon bimbit ku.

Munculnya rupa, kotak kecil terpampang.

Wajah mu kecil terpacul.

Cukup tenang hati gembira.

Kerana lima minit ini.

Terlalu singkat.

Tetapi tidak singkat ceritera kita ini.

4 minit hanya baki waktu.

Sebelum berangkat kaki ini

Demi sebuku cita-cita besar untuk menyusun bongkah-bongkah rumah tangga.

Kini berbaki 3 minit.

Tetapi hujung mata pandang tinggal 2 minit.

Sungguh laju waktu membunuh setiap zarah-zarah saat ini.

Detik tidak lagi kelihatan,

Tetapi rasa sayang tetap berbentuk fizikal.

Aku boleh sentuh.

Aku boleh rasa.

Aku boleh bau.

Ia tenang.

Ia adalah satu titik berhenti aku.

Kini satu minit ia akan berakhir.

Cukup waktu ini untuk kita berdua?


Aku akan pastikan satu hari nanti, lima minit ini bertukar menjadi lima abad untuk kita bersama.

Kaku aku beku

Jam berdenyut tepat memukul 11:30 malam, batuk tidak reda. Tidak pula ia pulih, jahanam dada ini membahak, tersedak.

Tapi aku tidak boleh berhenti.

Sejuk pedih rasa maut mecengkam tulang empat kerat ini.

Tapi aku tidak boleh berhenti.

Panas badan kian meningkat, tetapi aku terasa sejuk.

Tapi aku tidak boleh berhenti.

Kaku aku beku dalam gelap aku terpaku.

Tapi aku tidak boleh berhenti.

Sejuk malam membelah dada, herdikan maki hamun akibat batuk ini tidak pernah berhenti.

Tapi aku tidak boleh berhenti.

Gigil kaki berdiri, panas mata menahan ngantuk ini.

Tapi aku tidak boleh berhenti.

Walau persoalan dan setiap khilaf kau lontarkan kepadaku.

Aku tetap tidak boleh berhenti.

Aku cuba fahami.

Walau perit badan memamah setiap saat.

Dan aku akan tetap memimpin tangan mu.

Dan aku tetap akan melangkah awal untuk melindungi kau.

Mahupun dada ini tidak mampu tahan lagi.

Aku tetap tidak boleh berhenti.

Kerana nyawa ini masih panjang, aku akan kejar setiap waktu yang ada. Setiap peluang yang ada.

Untuk aku penuhi keinginan kau, kehendak kau.

Walaupun aku terpaksa meletakkan nyawa ini dihadapan untuk dimamah oleh sejuk malam.

Kerelaan ini mengharapkan balasan atau pun belas kasihan?

Aku tidak perlu itu.

Kerana aku mampu berdiri walau jasad tersebam.

Kerana aku tidak akan berhenti selagi jantung ini mampu mengepam darah.

Kerana...

Aku mahu kamu bahagia.

Dan aku tetap tidak boleh berhenti...

Dari menyayangimu.

Sebaris kata..

Bersyukur,

Adalah sebaris kata yang aku senantiasa ungkapkan setelah penat meredah ranjau yang gelap.

Aku mungkin tidak akan kenal erti kasih sayang dengan lebih mendalam tanpa kehadiran seorang wanita ini.

Aku mungkin tidak akan kenal erti perit manis hidup kalau aku senantiasa ditakuk lama.

Mungkin perit yang lebih manis tiada.

Hanya tawar dan kekecewaan yang lebih dari segala sudut.

Tiada siapa yang akan dipersalahkan disini.

Cuma mahu ditekankan ia adalah sejarah hidup setiap manusia.

Khilaf itu perlu, tetapi dalam kuantiti yang sikit atau banyak, manusia itu yang akan tentukan.

Aku sebagai manusia gelap dahulunya,

Mencari lampu kehidupan,

Kadangkala malap, cuba untuk cerah tetapi hampa tiba.

Tatkala hambarnya hidup ini, rupanya terselit lampu kebahagian didalam satu sudut yg terlalu rapat.

Mata ini mungkin rabun, tetapi memang tak nampak!

Mungkin, aku cuba buktikan sesuatu, tetapi kuasa Tuhan itu lebih dari segala-galanya, manusia tidak akan berubah dengan sendirinya.

Aku tidak perlukan perubahan, kerana kita dilahirkan sememangnya bebas dari segala dosa dan kesilapan. 

Tetapi sifat mudah selesa pada sesuatu keadaan itu memburukan lagi hidup kita ini.

Dengan beralaskan sifat menyalahkan manusia lain, sifat tidak muhasabah diri.

Kerana sifat-sifat ini dipupuk dengan persekitaran yang penuh dengan aura-aura negatif.

Mulanya hari dengan amarah pasti jahanam hari itu.

Dilapiskan lagi dengan herdik melengkapkan kemusnahan itu.

Kita alpa, bahawasanya tidak semua manusia itu kukuh luar dalam.

Pasti satu hari dia akan tumbang.

Mereka kata, terima seadaanya.

Kata aku.

Ubah untuk sebaiknya.

Tiada erti kata hipokrit disini, perihal buruk ini adalah bukan sifat semulajadi. Ia diwujudkan tanpa sedar oleh manusia itu sendiri.

Kini,

Walaupun ia tampak mudah, tidak bererti aku perlu selesa dengan situasi ini, tidak bererti aku perlu bersambil lewa dalam melakukan sesuatu perkara.

Kini,

Ia satu permulaan untuk aku melangkah lebih jauh, dahulu mungkin masih samar-samar siapa jodoh ini.

Kini,

Ia dihadapan mata, apa yang perlu dilakukan mohon rezeki ini tidak habis seperti mana ia habis ibarat air dahulu kala.

Kini,

Ia perlu disusun rapi supaya segalanya dipermudahkan oleh Nya.

Kini,

Aku bersyukur, dengan kegembiraan yang ada ini.

Semoga ia senantiasa hangat hingga ke syurga.

Satu persoalan...

Aku tahu..

Siapa aku dengan kisah silam mu,

Aku tahu dia adalah orang yang pernah hadir dalam hidup kau,

Tetapi jangan lupa aku kini adalah nafas baru mu,

Pastikan aku dijaga dengan rapi,

Mungkin dia tidak akan pernah henti mencuba hingga kau jadi milik aku.

Tetapi aku tidak akan henti dari mencuba..

Aku tidak akan menyerah kalah seperti mana aku lakukan dahulu..

Jikalau aku tidak ditolak,

Aku tidak akan jatuh,

Sejauh mana aku jatuh aku tetap akan berdiri.

Cerita ini tidak mudah,

Seperti aku bayangkan,

Ia diluar kawalan aku,

Cemburu itu pasti akan hadir,

Cuma aku harap ia tidak segila mana yang aku bayangkan.

Kerana aku tidak mampu berdiri lagi jikalau ia hilang esok hari.

Setiap baris kata boleh menghentam aku hingga ke perut bumi.

Cuma,

Aku tidak mahu kau derita!

Kerana,

Aku tahu, aku mampu menggembirakan kau.

Lebih!

Lebih!

Lebih!

Dari apa yang pernah kau dapat dari dia.

Jangan cuba untuk melangkah pergi,

Akan aku kejar kau,

Hingga kau kata berhenti!

Tika itu aku harap ia adalah hari terakhir aku.

Kerana aku tidak mahu jadi manusia gelap lagi.

Aku tidak mahu mengelamun dengan dunia fantasi aku.

Kerana hidup aku dengan kau adalah satu realiti yang pasti.

Aku mahu ia kekal...

Ya!

Aku mahu ia kekal hingga ke syurga!

Kami..

Berdua kami melalui pelbagai derita hidup,

Mungkin dahulu itu bukan jodoh kami..

Berdua kami menempuh pahit duka,

Mungkin dahulu itu bukan gula untuk kami..

Berdua kami menyayangi manusia lain,

Mungkin dahulu itu bukan cinta kami.

Tiada henti kami menyatakan perasaan ini.

Ia tidak pernah padam,

Sedang tidur pun dia masih senyum.

Mata ini terlalu indah untuk menatap wajah dia.

Setiap manusia yang kami hadap,

Tidak putus senyuman yang kami terima,

Kerana aku adalah manusia biasa yang senantiasa menyayangi kau.

Mungkin aku tidak sehebat manusia lain yang telah mendirikan objek-objek yang di cop sebagai keindahan dunia.

Tetapi catitan ini menjadi satu hasil tangan aku untuk kau.

Bukan mudah untuk kau hidup dalam keadaan begini, hadir aku untuk membuatkan kau gembira semula.

Kau tidak layak untuk hidup dalam kegelapan.

Malam itu bukan sial untuk kau.

Ia adalah keindahan dunia yang diselaputkan dengan sinar bulan yang terang!

Siang itu bukan terik untuk kau.

Ia adalah keindahan dunia yang disinarkan dengan matahari yang tidak henti menerangkan hari kau!

Mungkin kau adalah jodoh aku.

Aku akan kejar dia, ambil ini sebagai janji aku.

Mereka mungkin cuba untuk mengasingkan kita, tetapi takdir Tuhan itu lebih hebat dari kemahuan mereka.

Aku akan tetap akan mebimbing kau hingga nafas terakhir aku.

***

Anak kecil aku akan aku pastikan mereka hidup dengan penuh kasih sayang aku.

Itu janji aku.

Pupusnya hari semalam...

Kita mungkin alpa, atau kita mungkin hanyut dicengkam dengan amarah.

Mungkin ada sesetengah dari kita, takut untuk meluahkan apa sahaja yang terbuku, kerana takut akan kepada kehilangan.

Petang berlabuh beralaskan hujan.

Remuk jiwa.

Serabut akal.

Gelap mata.

Menanti dinding-dinding kenyal untuk ditakik!

Tapi membisu seribu bahasa. Ditolaknya manusia yang dia sayang.

Tertinggal terkapai-kapai tanpa persoalan.

Cuba diteka apa yang terbuku, hampa tidak mampu untuk menekanya.

Cuba dikalis setiap soalan, mujur aku tidak diteriaknya.

Cuba disenyap, aku yang gundah.

Tetap mahu dakap dia dalam apa jua situasi.

Tidak mampu aku lepaskan begitu sahaja, tidak mungkin untuk kali ini.

Aku tidak mahu ia pergi begitu sahaja.

Aku tidak mahu hari ini berakhir tanpa jawapan yang nyata.

Dia merangkap permaisuri, tidak mungkin kerajaan ini runtuh dengan sekelip mata.

Mungkin khilaf aku yang lepas?

Mungkin aku kurang beri perhatian pada dia?

Argh!!

Terlalu banyak persoalan yang aku sendiri tidak tahu mana pangkalnya.

Tetapi...

Ia tidak mengakhirkan segala ceritera yang kami sudah catitkan!

Ia tidak akan hancur begitu sahaja,

Kerana kasih sayang ini lebih kuat dari tembok besar cina!

Kerana kasih sayang ini lebih tersergam indah dari Taj Mahal!

Kerana setengah mati..

Aku..

Merindukan mu..

Batas...

Aku, tidak mungkin sehebat manusia yang paling agung.

Tetapi ingin juga aku menuju kearah itu, tetapi usaha ini masih kecil.

Cuma,

Aku ingin akhirkan ceritera hidup aku ini dengan satu kehidupan tanpa goyah.

Cuma,

Aku tidak tahu bila permasalahan ini akan selesai.

Kadangkala,

Aku takut kehilangan dia.

Kadangkala,

Aku takut dia lari.

Kadangkala,

Aku takut dia punya pengganti.

Sungguh banyak kadangkala aku.

Cuma,

Aku tidak akan henti usaha demi aku dia dan anak-anak kecil kami.

Cuma,

Dia sahaja yang boleh mengawal kehendak gila aku setakat ini.

Dia tegur,

Aku akur.

Kerana ia perkara baik.

Untuk apa aku melenting?

Kau jangan lompat dari batas kau wahai nafsu!

Akan aku cincang kau hingga lumat!!

Kerana,

Aku tidak mahu ia pecah begitu sahaja,

Kerana,

Aku tidak mahu ia musnah begitu sahaja,

Kerana,

Aku tidak mahu nafsu mengawal cerita ini.

Kerana...

Aku dan dia dipertemukan bukan atas nafsu.

Tetapi atas kasih sayang.

Ikhlas kerana Allah Yang Maha Kuasa.

Satu...

Malam.. berlalu pagi, jerit tawa anak kecil bergelimpangan menghiasi taman besar ditengah-tengah kota metropolitan.
Oh!
Penat peluh membakar lemak tepu.
Aku tetap puas.
Dia,
Indah,
Dia,
Kebahagiaan,
Dia,
Kegembiraan,
Dia,
Nyawaku...
Kini pagi melibas hati yang sejuk. Dia sedang enak meratap mimpi indah.
Moga aku sebahagian dari mimpi itu.
Tidak mengapa,
Asalkan aku sebahagian dari hidup kau, sebahgian dari nafas kau.
Ia terlebih indah dari apa yang sudah engkau berikan.

Satu keputusan...

Malam yang sejuk, hujan menempias beralaskan tiupan angin kencang.
Wah!
Baru lepas hujan, hujan lagi, gertak otak aku.
Perut merajuk lapar!
Hoi paham tak wahai perut kedai tutup la!
Muka aku kelihatan penat, dia sapa.
Aku cuba pacukan penat ini dengan senyuman. Mungkin dapat sorok sedikit.
Dia sapa lagi, sangat penat ye sayang?
Ah! Sudah...
Penat sangat kepala ini, perihal siang masih menghempap batin ini.
Eh!
Fizikal-lah!
Mana pil tongkat ali?!
Karang bergoncang batin baru kau tahu wahai lelaki!
Akal ini masih gusar setelah pelbagai berita datang dalam hidup aku.
Walaupun aku gembira...
Tetap perlu diperjelaskan segala-galanya.
Semua perlu faham apa yang tercatit waktu ini.
Jangan terlalu banyak persoalan!
Yang dekat boleh berkata-kata dengan izin aku.
Yang jauh mahu persoalkan langkah aku?
Khilaf kau!
Mati aku cabut nyawa kalian nanti!
Kita!
Sebagai manusia, jangan kau hempas derita kau. Dukung ia dengan kemas!
Pelajari silap kau!
Susun kata-kata kau!
Supaya ia tidak sakit untuk diterima oleh mereka yang menganga untuk mengigit atau menghadam kertas cerita kau.
Makin penat akal ini memikir.
Mata sedang asyik melihat lakonan orang gasar memukul orang!
Oh!
Aku teringat arwah wan dan atuk aku.
Ok.
Sambung!
Aku tidak pernah mengalah dalam hidup aku, tidak pernah tertutup mata ini dari kehidupan yang telah aku buka.
Persetan mereka berkata-kata.
Merka hanya kelibat manusia yang berjiwa jin!
-
Ahaaa!
Malam gelap hujan ditiup.

Berdenyut...

Tengah hari...

Ia datang ibarat ribut, menghempas setiap urat saraf kepala ini, mual perut, bingit kepala ibarat bumi terbelah!

Oh!

Ia sakit, tapi pedih ini dipadam dengan paracetamol, sejenak ia begegar aku mengalah terhenti setiap langkah-langkah yang ada.

Perit bumi ini aku sedang hadapi, ia tidak seperit apa yang telah aku lalui, ya Allah...

Maafkan aku..

Aku khilaf, aku hina, aku terlalu lemah dengan dunia mu.

Aku tidak mampu bergerak. Ingin aku tadah mengemis dari mu.

Jangan hilangkan perasaan ini, ia terlalu indah.

Aku tidak mahu ia singgah ibarat angin pagi yg menanti tengah hari yang membunuh!

Ah!

Aku tahu dia dan mereka adalah kesempurnaan hidup.

Aku!

Tidak punyai apa, apa yang aku ada hanyalah segumpal hati yang kecil.

Punya naluri yang sangat peka, kadang-kala diri ini rimas dengan naluri ini.

Ia banyak kali membunuh perasaan ini.

Jangan kali ini ia datang untuk menghancurkan lagi dunia aku.

Cukup!

Cukuplah!!

Biarkan aku hidup dengan dia, walaupun ia masih samar.

Kerana ceritera ini masih mentah.

Aku telah sambut mereka...

Biarkan ia berkubur bersama-sama dengan aku...

Kerana aku mahu dunia ini adil dengan aku untuk seketika..

Wahai Tuhan..

Hentikan seketika denyutan kepala ini, nadi-nadi ini.

Tidurkan aku untuk seketika..

Kerana..

Aku hanya mahu..

dia..

dan..

maafkan aku..

jika aku hanya memisahkan kau dengan darah mu untuk seketika..

kerana..

erti tanggung jawab ini..

bukan untuk aku dan kau..

mungkin untuk yang lain..

Tuhan..

Hentikanlah untuk seketika..

Biarlah jantung ini henti untuk seketika..

hentikan dari darah menghinggap kepala ini..

Aku penat...

Dengan setiap denyutan...

Yang ada dikepala ini..

Tuhan...

Rehatkan aku...

Yang benar,
Aku adalah hambamu ya Allah.

Jangan pernah...

Jangan pernah...

Kau berubah,
Kau berlalu pergi,
Kau hilang begitu sahaja.

Jikalau kau tiada lagi, maka sudah tiba waktunya aku berlalu pergi, cuba kau cucuk emosi aku. Pasti menitis air mata ini, pasti! Aku pasti!

Tak tahu sebabnya, ia bergelombang. Tapi aku pasti itu adalah kasih sayang yang datang dengan deras, melanggar pelusuk jiwa dan raga aku.

Kata-kata itu lemah, tapi aku tetap lemas dalam kata-kata mu, aku tetap bernyawa dalam dakapan mu, aku tetap selesa walau tidak bernafas.

Jangan pernah...

Kau lepaskan tangan aku,
Kau lepaskan peluk mu,
Kau lepaskan cinta mu.

Cerita ini masih awal, masih putih, titis hujan belum membebankan dan merobek kertas ini. Aku masih melakar ceritera ini.

Ia masih manis, ia walaupun kita telah lalui pelbagai derita, berasingan itu pasti.

Kadang-kala aku tidak faham mengapa kau lalui semua itu.

Dan,

Kadang-kala aku tidak faham apa yang aku telah lalui.

Tetapi aku pasti tiada detik itam sebegitu rupa akan diulangi oleh manusia yang bernama Azrul.

Tetapi aku pasti tangan ini tidak akan melonggarkan dakapan ini.

Dan,

Aku tidak akan berlalu pergi selagi kau bernafas.

Itu pasti...

Kali ini aku telah terbang tinggi.

Menggapai bintang dilangit.

Tiada lagi hentakkan deras ke bumi oleh manusia ketiga, mungkin percubaan itu ada.

Tetapi pasti tangan ini kuat memeluk langit kita!

Tidak jatuh!

Aku tidak akan terhempas!

Akan aku tarik kau keluar dari derita hidup mu, titisan air mata kau terlalu bernilai. Jangan kau tangisi masa silam mu, aku ada disamping mu.

Dahulu kau tidak bernyawa,

Dan

Benarkan aku kongsi nyawa ku...

Hingga akhir hayat mu.

Sayap...

Ini dunia manusia halus, bukan bunian dan bukan Al-hin..

Tanpa kuasaNya tidak akan aku rasa badan ini bersayap, tanpa kuasaNya tidak akan ku rasa kegembiraan ini.

Tanpa catitan dariNya tidak akan ku diketemukan dengan kamu.

Tanpa masalah aku ini, tidak akan kau muncul dalam hidup aku.

Tanpa tangan yang membina taman ditempat pertemuan kita pasti kau tidak akan hadir dalam hidup aku.

Tanpa manusia yang mencipta jalur lebar, pasti aku tidak akan tahu kewujudan mu.

Mereka itulah yang membina sayap aku...

Terbangnya aku kerana kewujudan mu...

Sekilas pandang kau adalah keindahan dunia, jikalau ditatap pasti tenang akan tiba.

Tegak kau berdiri kukuh bumi ini bergetar.

Bukan bumi mereka, tetapi bumi aku.

Dunia aku!

Mengapa tidak kau hadir dalam hidup aku dahulu?

Kerana kita perlu kenal erti kehidupan...

Erti bertapa pentingnya untuk hidup bersama...

Bukan untuk memijak diantara satu sama lain...

Bukan untuk mengarah diantara satu sama lain...

Hidup ini punya jari dan telapak tangan.

Tanpa jari tidak mampu digenggam.

Tanpa telapak masakan pula mampu menadah.

Terima kasih...

Kerana kau tetap berdiri sebelah ku.

Jam 3 pagi...

Jarum yang tajam memangkah digit-digit yang melekat, disapunya karbon yang terpahat, tapi tiada jam dikamar beradu ku.
Pagi yang gelap belum terang sepenuhnya, pasti gelap kamar ku menanti pagi dengan tekanan melampau dikepala ini.
Lamunan jauh, dipukau dengan bibit-bibit manis kehidupan sebulan yang lepas. Tawa hati digeletek, oleh tangan-tangan halus. Jiwa yang kelam kini ditenangkan dengan sentuhan tangan permaisuri yang kecil.
Pagi ku bermula jam 6 pagi tepat semalamnya, dahi dikucup tanda pagi sudah memukul jiwa ini. Ditatapnya muka wanita yang akan menghiasi hidup aku.
Tidak mungkin aku akan lupakan...
Ia anugerah dari Ilahi, buat seorang manusia yang ghaib didalam pagi yang gelap ini.
Pagi diteruskan dengan aktiviti manusia kota yang mencari habuan untuk nafsu perut berdua.
Oh!
Aku dan dia tidak ubah seperti harimau yang mencari mangsanya!
Akal digoncang oleh ilusi makanan.
Dia! Dia!
Yang merogol akal ku dengan objek-objek makanan!
Hidup kami sihat, hidup kami bahagia, kami telah lalui pelbagai rintangan, dia pasti lebih dari aku, dan aku pasti pedih dari dia. Kami berkongsi, bukan untuk dikasihani!
Kami kongsi untuk kehidupan yang lebih sempurna, cuma aku mencari kekhilafan aku untuk aku dan dia masamkan sedikit. Dia sudah bagi, dan aku lihat wajahnya penuh dengan perkataan maaf.
Kelibat manusia kurang siuman menjelma tiba, dimakinya suasana yang agak kelam ditengah-tengah kotaraya yang klasik.
Sumpah sebaris kata aku tidak mengerti. Cuma tunduk menikmati.
Ditunjuknya pada kotak merah!
"amaran! Merokok membahayakan kesihatan"
Lantar, aku menghadiahkan sebatang untuk nafsu dia yang gelora, kepala ditunduk seperti manusia zaman jajahan jepun, apakah kau dari masa lampau?
Apakah kau gila akibat tekanan perasaan yang melampau?
Apakah kau gila akan kerana manusia lain yang pijak kepala kau?
Kasihan kau.
Tidak punya teman, mereka pasti lari jikalau kau dekati!
Maaf tuan, aku masih belum jadi jutawan. Tiada rumah perlindungan untuk kau lagi.
Kalau diizinkan Tuhan pasti kau hidup lagi.
Berlalu pegi dengan hati yang gembira, teriak manusia yang kurang waras dengan bungkusan makanan yang entah dari mana, rezeki itu pasti buat manusia, bertapa indahnya dan adilnya yang Maha Kuasa.
Kami yang hanyut dengan dosa dunia.
Aku kesal, kerana hanya itu yang mampu disumbangkan. Tetapi ia tetap membuat hati mereka gembira.
Yang lebih pasti,
Permaisuri ku yang merobek ikan keli ku dengan tangan kanannya itu tetap gembira bersama ku!
Wah!
Mungkin pelik nasi kerabu diratah dengan ikan keli.
Tetapi jawab aku.
Ini kuala lumpur!
Tetapi hati sebenarnya meroyan mahukan daging salai dengan ikan goreng tepung!
Kontrol macho?
Hahahahaha!
Memang tidak!
Belayarnya kehidupan manusia kota, kononnya bersarapan pagi, walhal jam sudah mahu memukul matahari tengah hari!
Tiada pengakhiran, cuma dunia kami ditunda untuk sementara waktu.
Dan kini...
Satu jam berlalu.
Sudah tiba masanya untuk aku solat hajat.

Penghujung ceritera...

Kasih yang dahulu, tidak pernah tercapai.

Tapi tidak lagi!

Tangan yang lembut, kecil, penuh dengan haba kasih sayang.

Oh! Tidak lupa juga punya tahi lalat yg manis melekat di persekitaran tangan itu.

Setiap peluk erat tangan itu, muka beliau seperti memikirkan sesuatu, mungkin masa depan dengan ku?

Dahulunya penuh dengan herdik, kini penuh dengan kelembutan..

kadang kala aku hanyut dilautan!

Sendirian aku mati dalam keenakkan bersama dengan nya.

Adakala aku senyap, tetapi dia tidak pernah henti megembirakan hati aku.

Dakapan dia sudah cukup buat aku lebur ibarat lilin dimamah api-api bumi.

Telapak tanganya cukup unik untuk disentuh!

Aku tidak mungkin akan mati keseorangan, aku mungkin tidak akan lemas dalam kegelapan lagi.

Cuma menunggu waktu yang sesuai untuk bersama-sama selamanya.

Tidak pernah doa ini terputus, semoga diterima olehNya.

Itu sahaja aku mampu selain dari usaha untuk merapatkan dunia kau dan aku!

Langkah demi langkah di aturkan, aku mungkin akan tersadung, mohon kau menyambut aku dengan kasih sayang yang ada.

Aku tidak pinta lebih apa yang kau mampu berikan.

Kerana aku juga manusia biasa, punya khilaf.

Begitu juga kau, tetapi aku tidak akan mengalah dalam menyayangi mu.

Agak kalut bahasa ini, penuh bunga-bunga.

Tidak boleh dinafikan aku dilamun cinta.

Cuma cinta aku tetap punya nafsu makan.

Cuma cinta aku tetap basah tatkala badan ini direndam.

Aku bukan remaja-remaja monyet!

Kini tiba masanya untuk tetapkan segala-galanya, kau kenalilah diri aku ini, kenali keburukan aku ini.

Semoga kau tidak berganjak dari posisi asal kau.

Kerana aku pasti akan dakap kau hingga kau lemas bersama dunia aku!

Al-kisah,

Seorang permaisuri berjaya merobohkan kerajaan jiwa aku!

Oi! Ia sudah hancur,

Kutiplah ia,

Bawa ia pergi bersamamu.

Keajaiban...

Ia datang tanpa deruan angin, ia datang ibarat roh yang cuba menembusi badan manusia yang telah didiami roh sejak 28 tahun lamanya.

Dan roh ini adalah persis setiap doa-doa yang aku panjatkan, dan ia hadir bersama dengan jasadnya yang mampu membunuh setiap ruang-ruang dalam badan aku.

Akal ini tidak mampu untuk menanggung bagaimana ia hadir.

Bermula dengan satu picitan-picitan skrin yang cerah, ia bermula berhadapan dengan pelamin yang ditinggalkan, menanti dibuka, bunga-bunga masih segar diselaputi hujan yang menitis dipetang hari.

Hadir dalam bekas besi yang padat, buatan tempatan!

Yang pertama aku lihat adalah senyuman beliau, diikuti dengan lambaian yang penuh dengan kegembiraan!

Oh! Sungguh gembira si dia!

Sampai aku kaku, melihat kiri kanan!


***
Diskusi akal sebentar,

"Oi! budak botak! Tu dia kah?"

"Mungkin kot?"

"Oi! dia lambai dekat kau kah botak?"

"Mungkin juga? kejap aku periksa sekeliling."

"Oi! yang kau kaku ja kenapa?"

"Eh otak ni.. boleh sabar tak?"

"Kau ni lembab sangat nak bergerak ni kenapa? malu?"

"Eh! Suka hati aku lah! 
Aku tak nak malu je la!"

"Suka hati kau lah! Jangan buat dia bosan ok!"

"Habis tu? Takkan aku tak boleh kau otak? 
Pandai kau nak cabut lari!"

"Karang aku nak kata kau ni kurang bijak marah! 
Macam mana aku nak lari tak ada kaki tangan!"

***

Terhenti, tergamam! Dia sambut aku penuh dengan kelembutan, postur badan yang tegak berdiri sambil tangan terhayun-hayun sedikit, kepalanya di gerakkan kiri kekanan.

Aku tidak mampu memandang terus kemata beliau, boleh hancur jasad yang sedang berdiri ini..!

Kotak suara aku makin halus, mungkin malu! Atau mungkin aku lupa, spesis aku ini ibarat manusia yang berkata-kata dengan nada yang perlahan.

Maafkan aku!

Hari aku tidak akan indah jikalau dia tidak hadir, mungkin hujan petang itu tidak mampu menenangkan hati ini jikalau ianya hanyalah angan-angan.

Terima kasih!

Kerana kau aku tidak putus asa!

Kerana kau aku kenal apa itu kasih sayang!

Kerana kau aku kenal apa itu pengorbanan!

Kerana kau aku kenal apa itu kesakitan!

Kerana kau aku kenal apa itu cinta kembali!

Terima kasih Tuhanku!

Kau temukan tulang rusuk ku yang hilang... Aku fikirkan ia tidak akan hadir, sangkaan meleset sama sekali.

Tidak mampu aku mengambarkan, ceritera ini. Tidak mampu aku membalas kekuasaan mu wahai Ilahi. Kerana sehina-hina aku masih ada kasih dari Mu! Kau berikan apa yang terbaik buat ku, kau berikan aku kegembiraan yang telah lama lenyap. Kau berikan aku harapan untuk terus hidup.

Kau berikan hidup aku!

Dia dalah hidup aku, bukan jantung, bukan nafas, bukan darah. Kerana aku sudah punya semua itu, kau hadirkan seorang wanita yang mampu menjaga aku hingga akhir hayat, dan akan berterusan hingga kesyurga.

Hingga kini...

Dia adalah sebahagian dari hidup aku, dia adalah penyeri hidup aku. Keluarga aku juga adalah penyeri hidup aku, dia ibarat penerang hidup aku yang dahulu gelap!

Lirikan kata-kata dia boleh menggoncang aku!

Senyuman dia boleh menggegarkan jantung aku!

Kini, aku punya 2 roh dan 2 jasad yang perlu disatukan... 

Aku tidak akan mengalah, dan setiap doa ini akan aku panjatkan bersama-sama dengan mu. Setiap titisan air mata ini akan disejat bersama-sama dengan doa ku.

Dan kau, adalah salah satu tujuan hidup aku.

Dan izinkanlah aku menyayangi mu...

Dan izinkanlah aku memperisterikan mu!

Dan izinkanlah aku menjadi imam mu!

Dan izinkanlah aku menjaga kau sehingga nafas aku terhenti!

Popular Posts

Labels