Kabur yang kabut

Putih tidak beerti ia suci, kali ini ia membunuh.

Putih tidak lagi cantik, kerana pedih mata ditangisi.

Putih tidak lagi keinginan manusia, kerana mereka takut akan kehadirannya.

Putih tidak lagi penerang kehidupan, kerana manusia tidak mengimpikannya.

Merah dinyala, hijau dibakar.

Titis hujan menghijau tinggal kenangan.

Kalau manusia memekik akan kehadirannya, jangan banjir yang kunjung tiba.

Kini mereka teriak, kau salah aku salah, mereka salah!

Terlupa, kita ini hanya penumpang dunia.

Ia sementara, kehancuran akan tiba.

Setiap zarah-zarah ini akan dihitung.

Dimana posisi kita sebagai manusia?

Alpa, dan tamak.

Kita maki mereka, bangsa kita yang membakar.

Bangsa mereka yang teriak, bangsa mereka yang tidak mahu menghukum.

Duit dijadikan tempat tidur mereka.

Kita, berselimutkan asap tebal.

Anak kecil mengunyah zarah-zarah hijau yang terbakar.

Dimanakah sifat perikemanusiaan?

Binatang habis dibakar!

Teriak mereka tidak kedengaran.

Apa mahu aku bakar manusia seperti kalian?

Baru tahu ia pedih, tiada gembira buat kami.

5 minit...

Otak ditekan, angin dikeluarkan.

Berpusu-pusu akal berbelit, memerah urat-urat akal.

Lega hati senyuman dipaparkan, melihat nota-nota kecil di telefon bimbit ku.

Munculnya rupa, kotak kecil terpampang.

Wajah mu kecil terpacul.

Cukup tenang hati gembira.

Kerana lima minit ini.

Terlalu singkat.

Tetapi tidak singkat ceritera kita ini.

4 minit hanya baki waktu.

Sebelum berangkat kaki ini

Demi sebuku cita-cita besar untuk menyusun bongkah-bongkah rumah tangga.

Kini berbaki 3 minit.

Tetapi hujung mata pandang tinggal 2 minit.

Sungguh laju waktu membunuh setiap zarah-zarah saat ini.

Detik tidak lagi kelihatan,

Tetapi rasa sayang tetap berbentuk fizikal.

Aku boleh sentuh.

Aku boleh rasa.

Aku boleh bau.

Ia tenang.

Ia adalah satu titik berhenti aku.

Kini satu minit ia akan berakhir.

Cukup waktu ini untuk kita berdua?


Aku akan pastikan satu hari nanti, lima minit ini bertukar menjadi lima abad untuk kita bersama.

Kaku aku beku

Jam berdenyut tepat memukul 11:30 malam, batuk tidak reda. Tidak pula ia pulih, jahanam dada ini membahak, tersedak.

Tapi aku tidak boleh berhenti.

Sejuk pedih rasa maut mecengkam tulang empat kerat ini.

Tapi aku tidak boleh berhenti.

Panas badan kian meningkat, tetapi aku terasa sejuk.

Tapi aku tidak boleh berhenti.

Kaku aku beku dalam gelap aku terpaku.

Tapi aku tidak boleh berhenti.

Sejuk malam membelah dada, herdikan maki hamun akibat batuk ini tidak pernah berhenti.

Tapi aku tidak boleh berhenti.

Gigil kaki berdiri, panas mata menahan ngantuk ini.

Tapi aku tidak boleh berhenti.

Walau persoalan dan setiap khilaf kau lontarkan kepadaku.

Aku tetap tidak boleh berhenti.

Aku cuba fahami.

Walau perit badan memamah setiap saat.

Dan aku akan tetap memimpin tangan mu.

Dan aku tetap akan melangkah awal untuk melindungi kau.

Mahupun dada ini tidak mampu tahan lagi.

Aku tetap tidak boleh berhenti.

Kerana nyawa ini masih panjang, aku akan kejar setiap waktu yang ada. Setiap peluang yang ada.

Untuk aku penuhi keinginan kau, kehendak kau.

Walaupun aku terpaksa meletakkan nyawa ini dihadapan untuk dimamah oleh sejuk malam.

Kerelaan ini mengharapkan balasan atau pun belas kasihan?

Aku tidak perlu itu.

Kerana aku mampu berdiri walau jasad tersebam.

Kerana aku tidak akan berhenti selagi jantung ini mampu mengepam darah.

Kerana...

Aku mahu kamu bahagia.

Dan aku tetap tidak boleh berhenti...

Dari menyayangimu.

Popular Posts

Labels