Mata manusia...

Semenjak dua menjak ini, aku selalu dilanggarkan dengan kedaifan manusia.

Kadangkala aku terpaku, ibarat aku menyelam dalam dunia lampau.

Kadangkala imaginasi aku ini lebih bersifat realiti masa lampau yang pernah aku lalui.

Kadangkala ingin aku dakap kedua ibu bapa aku senantiasa.

Kadangkala aku ingin seperti anak kecil baring dan berborak seperti yang selalu aku lakukan sebelum aku memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

Kadangkala jikalau aku melihat wanita yang kini menjadi rusuk kiri aku, aku sayu.

Kerana ia ibarat ibu yang melindungi anak-anaknya.

Aku manusia yang teliti dengan kehidupan, aku lihat ia ibarat tali-tali suara yang berhubung terus kelangit.

Aku lebih banyak diam, kerana itu sifat aku.

Aku lebih banyak memerhati setiap perbuatan manusia.

Aku lebih banyak rumuskan setiap inci kehidupan kepada penulisan.

Aku lebih banyak membaca fakta dan masalah supaya ia menjadi kayu pengukur sejauh mana kehidupan yang telah aku lalui.

***

Ia satu imej yang kerap terbayang dalam akal aku.

Bagaimana aku pernah mengalami satu kehidupan yang sungguh gelap.

Bagaimana aku pernah mengalami satu ketidakselesaan yang sehingga kini aku terasa pedih tatkala malam sejuk menjelma.

Setiap perbuatan anak kecil, ibu bapa, isteri mata ini merekod segala-galanya.

Aku pernah lihat bagaimana nyawa manusia kecil ditarik, nyawa itu adalah manusia yang aku jaga semasa dia kecil, aku juga yang melipatkan kain sehingga ia jadi seperti kain lampin.

Itu aku semasa umur aku masih kecil.

Tapi Tuhan lebih menyayangi beliau.

Bukan waktu aku untuk pergi bersama dia.

Aku anak kotaraya, kalian tidak perlu mempersoalkan bagaimana susur galur kehidupan aku.

Paling sayu yang pernah aku rakamkan dalam kepala otak ini, tatkala bila kita sampai satu tahap tidak mampu menjamah sepinggan nasi dengan sempurna akan kerana kekosongan wang ringgit didalam dompet.

Hanya cukup untuk anak kecil yang tidak tahu erti tanggungjawab kehidupan.

Aku tidak tahu!

Jikalau aku tahu pasti aku suap sedikit sahaja.

Itulah kehebatan ketua keluarga aku yang masih kukuh sehingga sekarang, beliau pernah mengikat perut sehingga perutnya luka, dan nyata pembuangannya itu tampak darah.

Itulah kehidupan...

Kita lindung, tiada ancaman yang mampu menembusi secara zahirnya.

Akan kerana itu...

Setiap kematian akan aku mempercepatkan kehadiran aku.

Kerana Tuhan itu senantiasa adil...

Ia akan berikan kesempatan kepada kita untuk mendermakan bekalan si mati.

Aku harap ia sampai...

Kerana setiap perbuatan aku hanya demi Tuhan aku...

Jari jemari aku akan selalu bergerak akan kerana diskusi dengan akal aku tidak akan berhenti, fokus aku tidak akan terganggu walau bagaimanapun.

Anak kecil aku tetap akan menjadi keutamanan, yang penting adalah setiap nyawa anggota keluarga kecil aku.

Aku diajar untuk melindungi, tetapi jikalau mereka salah. Aku lindungi mereka dengan membuat satu keputusan yang waras. Emosi bagi aku adalah satu mainan akal, kerana ia kelemahan manusia yang senantiasa membuka laluan kepada syaitan dan iblis untuk menumpang amarah hati.

Akan kerana itu aku pernah dicop sebagai manusia yang tiada emosi.

Kerana emosi ini perlu diterjemahkan kepada satu penulisan, ia dijadikan sebagai panduan.

***

Soal anak kecil yang daif dimata aku, dia tidak takut atau malu dengan tali rafia dan secebis surat khabar cina yang di ikat ibarat teropong.

Ibunya yang compang-camping pakaiannya memberikan semangkuk bubur dan kuih untuk disantapnya.

Riang terpancar diwajahnya kerana kelihatan dia tidak sabar untuk menjamah.

Baju ibu yang rabak dan dijahit dengan benang berwarna unggu itu, merasakan ia tidak sesuai dikawasan itu, tetapi dia tidak malu.

Mungkin tiada pilihan.

Itu kehidupannya.

Demi keluarganya, janji perut anak kecil tidak perit mahupun terabai.


***

Wahai manusia,

Coretan ini adalah jiwa manusia, yang sungguh berliku tiada seni yang lurus, pasti bengkang bengkok.

Wahai manusia,

Cuba lihat bagaimana keluarga kalian melindungi kalian.

Terjemahkan dia.

Wahai manusia,

Yang terbaik untuk anak kecil adalah segala-galanya kerana kain putih tidak akan kotor kalau tangan yang menulis itu bersih.


Itulah mata manusia...

Tiada ulasan:

Popular Posts

Labels