Ketakutan...

Dalam kelautan kita berfikir, akan terpancar satu perasaan takut, takut akan kehilangan segala detik-detik manis yang telah dipahatkan sejak dari hari pertemuan.

Ia mungkin mendatar naik, tetapi menjunam seketika dan memuncak terbang semula.

Itulah kebahagian dalam hidup berpasangan, dia punya kelemahan aku punya kelemahan.

Kami tidak mengambil kesempatan terhadap kelemahan masing-masing, cuma ingat mengingati sahaja.

Mulut yang lancang ini tidak kedengaran lancang seperti sediakala, ia dikawal dengan agak rapi, walau kadangkala ia bolos.

Ia secantik yang dibayangkan, nikmat hidup bekeluarga.

Tidak pernah diduga ia terlalu comel dan manis.

Rasa rindu itu kadangkala menghentam entah dari mana.

Senyuman yang dilontarkan itu boleh meragut nyawa ini, gelak tawa anak-anak kecil membelah sunyi rumah.

Malu merah muka ditekup, ketawa kecil aku sambil mengecilkan mata.

Kami bahagia,

Jangan sesiapa pun cuba meragut apa yang aku ada ini, hanya dengan izin Allah sahaja ia boleh dihancurkan.

Aku tidak hidup didalam dunia fantasi,

Dinding-dinding gelap hancur dihentak oleh permaisuri aku.

Tangan yang dahulu diimpikan, kini menarik aku keluar dari kegelapan.

Terima kasih aku ucapkan...

Aku mungkin tidak mampu membalas seluruh kebaikkan kau.

Cuma apa yang aku mampu berikan,

Hanyalah,

Kasih sayang yang tidak akan lenyap hingga hujung nyawa.

Kabur yang kabut

Putih tidak beerti ia suci, kali ini ia membunuh.

Putih tidak lagi cantik, kerana pedih mata ditangisi.

Putih tidak lagi keinginan manusia, kerana mereka takut akan kehadirannya.

Putih tidak lagi penerang kehidupan, kerana manusia tidak mengimpikannya.

Merah dinyala, hijau dibakar.

Titis hujan menghijau tinggal kenangan.

Kalau manusia memekik akan kehadirannya, jangan banjir yang kunjung tiba.

Kini mereka teriak, kau salah aku salah, mereka salah!

Terlupa, kita ini hanya penumpang dunia.

Ia sementara, kehancuran akan tiba.

Setiap zarah-zarah ini akan dihitung.

Dimana posisi kita sebagai manusia?

Alpa, dan tamak.

Kita maki mereka, bangsa kita yang membakar.

Bangsa mereka yang teriak, bangsa mereka yang tidak mahu menghukum.

Duit dijadikan tempat tidur mereka.

Kita, berselimutkan asap tebal.

Anak kecil mengunyah zarah-zarah hijau yang terbakar.

Dimanakah sifat perikemanusiaan?

Binatang habis dibakar!

Teriak mereka tidak kedengaran.

Apa mahu aku bakar manusia seperti kalian?

Baru tahu ia pedih, tiada gembira buat kami.

Popular Posts

Labels